Friday, January 3, 2014

Lecture 2 by @MrMarzuki

Malaysia, sebuah tamadun yang wujud selepas era penjajahan kolonial British. Walau sudah lebih 500 tahun dijajah oleh berbagai-bagai kuasa dunia, tapi tamadun yang kian mengukir nama di pentas dunia masih lagi tidak ingin menelan kepahitan dengan menyembunyikan hakikat penjajahan tersebut. Contohnya, pada tahun 2011, Professor Datuk Dr Zainal, ahli Majlis Professor Negara, telah membuat satu konklusi, iaitu selama 400 tahun Tanah Melayu dikawal oleh kuasa asing, hanya 2 tahun sahaja Tanah Melayu dijajah, baki 398 tahun, Tanah Melayu hanya dibawah naungan kuasa kolonial British. Selepas lebih 57 tahun merdeka, masih lagi tamadun Malaysia tidak menerima hakikat perihal sejarah dan ini akan memberikan impak negatif pada generasi akan datang.

Sedikit pengenalan tentang tamadun Malaysia selepas kemerdekaan, sebuah tamadun yang lengkap dengan ciri-ciri asas tamadun, iaitu mempunyai Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, walaupun sesetengah rakyat tidak mampu bertutur dengan fasih dalam Bahasa Malaysia, mempunyai agama rasmi iaitu agama Islam, walaupun kebanyakkan penganut hanya islam di atas kertas dan agama hanya anutan, bukan panduan, mempunyai sistem perundangan yang teratur, walaupun sistem itu dengan mudah sahaja dapat ditembusi dengan wang ringgit; mata wang tamadun Malaysia, mempunyai sistem pemerintahan yang sistematik, walaupun sistem tersebut telah diracuni dengan korupsi dan ketidak jujuran pemimpin, dan mempunyai sistem pendidikan yang mantap, walaupun pendidikan itu dijadikan cara untuk mendapat keuntungan dengan membebankan pelajar dengan hutang yuran pengajuan yang mahal.

Jika rakyat mempersoalkan tentang isu-isu yang telah diutarakan seperti di atas, pemimpin menyelesaikan masalah dengan memberi imbuhan, atau wang saguh hati kepada rakyat, dengan bertujuan untuk menutup mulut dan mengkaburi mata rakyat. Jika ditolak hadiah yang diberikan oleh kerajaan tersebut, pemimpin, yang dibarisi oleh golongan intelektual yang mempunyai pendidikan luar negara yang mantap, memberikan alasan yang sangat menghiburkan hati dan membuatkan rakyat tersenyum. Jangan dipersoalkan mengapa pemimpin berbuat sedemikian rupa, kerana, sedangkan Majlis Professor Negara mempunyai seorang ahli yang mampu mencipta fakta yang mampu mengukir senyuman sepanjang zaman seperti di atas, inikan lagi barisan kepimpinan tamadun Malaysia.


Tamadun Malaysia mampu melonjak ke arah yang lebih jauh jika modal insan dibentuk dengan baik. Tetapi malangnya, sistem pendidikan negara masih belum lagi mampu melahirkan mahasiswa yang berkaliber, kerana kebebasan seorang mahasiswa masih lagi disekat. Kata mereka, mahasiswa masih belum matang, kerana terlalu muda. Adakah kematangan diukur dengan umur, atau ia diukur dengan tahap pemikiran seseorang? Jika ia diukur dengan umur, pada umur berapakah seseorang itu dianggap sebagai modal insan yang berkaliber? Tepuk dada, tanya selera. Seorang guru yang baik pernah berkata kepada anak muridnya, jika kita menanam biji benih betik, jangan berharap untuk mendapat durian. Itulah hakikat tamadun Malaysia, jika pahit untuk ditelan, ciptalah alasan yang dihiasi dengan kemanisan. Tetapi ingat, pahit itu ubat, manis itu racun.

Source: http://www.tv3.com.my/beritatv3/tajuk_utama/Tanah_Melayu_Tidak_Pernah_Dijajah_British.html

Monday, November 25, 2013

1st Lecture by @MrMarzuki

Satu hari, selepas solat Zohor, seperti biasa, aku beranjak ke saf belakang untuk menunaikan solat sunat. Selesai solat sunat, aku duduk dan berfikir. Mataku tertarik kepada seorang lelaki yang agak berumur, memakai topi dan berbaju biru, memasuki perkarangan masjid. Dia melangkah masuk dengan kaki kanan, mengangkat tangan untuk berdoa, memasuki saf, mengangkat takbir sebanyak tiga kali, rukuk, sujud, lalu terus member salam. Aku tersenyum. Dia ialah antara orang yang istimewa di kawasan perumahan aku. Selalu jadi bahan jenaka kanak-kanak di kawasan kejirananku. Selesai member salam, dia mengangkat tangan untuk berdoa, lalu berdiri dan bersalaman dengan semua orang di dalam masjid itu termasuk aku. Sebelum dia keluar, dia mengangkat tangan untuk berdoa, dan sampai di pintu masjid tersebut, dia mengeluarkan sejumlah wang bewarna merah di dalam poket kanannya lalu memasukkan ke dalam tabung masjid. Aku terpaku.


Dalam Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mendefinisikan akhlak sebagai sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, darinyalah terbentuk perbuatan dengan mudan dengan tidak memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu. Secara mudahnya, akhlak ialah perbuatan kita secara sub-conscious atau secara automatik. Jika lelaki istimewa itu terus datang ke masjid setiap kali waktu solat, dan menderma ke masjid selepas solat, cuba kita bayangkan betapa indahnya akhlak lelaki tersebut. Memang benar, lelaki itu kurang siuman atau terencat akal, tetapi, jika kita ambil definisi akhlak itu sendiri, iaitu perbuatan yang tanpa pertimbangan fikiran, bukankah akhlak lelaki itu lebih baik daripada sesetengah atau segolongan daripada kita?


Ada banyak cara untuk kita membentuk akhlak yang mulia. Semuanya bermula dengan rutin harian dan disiplin diri yang tinggi. Jika kita memaksa diri kita untuk bangun awal dan melakukan solat subuh, lama kelamaan, perbuatan itu akan menjadi rutin harian, dan akhirnya akan menjadi akhlak kita. Kita kena ingat, untuk membentuk akhlak yang mulia, kita bukan sahaja perlu mengubah amalan spiritual, tetapi kita perlu memprogram semula semua rutin kehidupan kita daripada kita bangun hingga kita tidur. Bukankah lebih cantik jika kita hiaskan permulaan hidup kita dengan doa bangun tidur, dan tamatkan episod hidup kita dengan wudhu dan doa sebelum tidur?


Hidup bagai senaskah buku, kita perlu baca dan fahami untuk mendapat nilai dan pengajaran daripada buku tersebut. Dan ingat, buku kehidupan ditulis oleh penulis yang maha hebat dan tiada tandingannya, jadi pasti ada pengajaran dalam setiap cerita, cuma terpulang pada kita untuk fikir sejenak dan mencari pengajaran daripada cerita tersebut. Konklusinya, bukalah mata, dan cari setiap yang positif dalam kehidupan.