Saturday, February 22, 2014
Friday, January 3, 2014
Lecture 2 by @MrMarzuki
Malaysia, sebuah tamadun yang wujud selepas era penjajahan
kolonial British. Walau sudah lebih 500 tahun dijajah oleh berbagai-bagai kuasa
dunia, tapi tamadun yang kian mengukir nama di pentas dunia masih lagi tidak
ingin menelan kepahitan dengan menyembunyikan hakikat penjajahan tersebut.
Contohnya, pada tahun 2011, Professor Datuk Dr Zainal, ahli Majlis Professor
Negara, telah membuat satu konklusi, iaitu selama 400 tahun Tanah Melayu
dikawal oleh kuasa asing, hanya 2 tahun sahaja Tanah Melayu dijajah, baki 398
tahun, Tanah Melayu hanya dibawah naungan kuasa kolonial British. Selepas lebih
57 tahun merdeka, masih lagi tamadun Malaysia tidak menerima hakikat perihal
sejarah dan ini akan memberikan impak negatif pada generasi akan datang.
Sedikit pengenalan tentang tamadun Malaysia selepas
kemerdekaan, sebuah tamadun yang lengkap dengan ciri-ciri asas tamadun, iaitu
mempunyai Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi, walaupun sesetengah rakyat
tidak mampu bertutur dengan fasih dalam Bahasa Malaysia, mempunyai agama rasmi
iaitu agama Islam, walaupun kebanyakkan penganut hanya islam di atas kertas dan
agama hanya anutan, bukan panduan, mempunyai sistem perundangan yang teratur,
walaupun sistem itu dengan mudah sahaja dapat ditembusi dengan wang ringgit;
mata wang tamadun Malaysia, mempunyai sistem pemerintahan yang sistematik,
walaupun sistem tersebut telah diracuni dengan korupsi dan ketidak jujuran
pemimpin, dan mempunyai sistem pendidikan yang mantap, walaupun pendidikan itu
dijadikan cara untuk mendapat keuntungan dengan membebankan pelajar dengan
hutang yuran pengajuan yang mahal.
Jika rakyat mempersoalkan tentang isu-isu yang telah
diutarakan seperti di atas, pemimpin menyelesaikan masalah dengan memberi
imbuhan, atau wang saguh hati kepada rakyat, dengan bertujuan untuk menutup
mulut dan mengkaburi mata rakyat. Jika ditolak hadiah yang diberikan oleh
kerajaan tersebut, pemimpin, yang dibarisi oleh golongan intelektual yang
mempunyai pendidikan luar negara yang mantap, memberikan alasan yang sangat
menghiburkan hati dan membuatkan rakyat tersenyum. Jangan dipersoalkan mengapa
pemimpin berbuat sedemikian rupa, kerana, sedangkan Majlis Professor Negara
mempunyai seorang ahli yang mampu mencipta fakta yang mampu mengukir senyuman
sepanjang zaman seperti di atas, inikan lagi barisan kepimpinan tamadun
Malaysia.
Tamadun Malaysia mampu melonjak ke arah yang lebih jauh jika
modal insan dibentuk dengan baik. Tetapi malangnya, sistem pendidikan negara
masih belum lagi mampu melahirkan mahasiswa yang berkaliber, kerana kebebasan
seorang mahasiswa masih lagi disekat. Kata mereka, mahasiswa masih belum
matang, kerana terlalu muda. Adakah kematangan diukur dengan umur, atau ia
diukur dengan tahap pemikiran seseorang? Jika ia diukur dengan umur, pada umur
berapakah seseorang itu dianggap sebagai modal insan yang berkaliber? Tepuk
dada, tanya selera. Seorang guru yang baik pernah berkata kepada anak muridnya,
jika kita menanam biji benih betik, jangan berharap untuk mendapat durian.
Itulah hakikat tamadun Malaysia, jika pahit untuk ditelan, ciptalah alasan yang
dihiasi dengan kemanisan. Tetapi ingat, pahit itu ubat, manis itu racun.
Source: http://www.tv3.com.my/beritatv3/tajuk_utama/Tanah_Melayu_Tidak_Pernah_Dijajah_British.html
Subscribe to:
Posts (Atom)
