Satu hari, selepas solat Zohor, seperti biasa, aku beranjak ke saf belakang untuk menunaikan solat sunat. Selesai solat sunat, aku duduk dan berfikir. Mataku tertarik kepada seorang lelaki yang agak berumur, memakai topi dan berbaju biru, memasuki perkarangan masjid. Dia melangkah masuk dengan kaki kanan, mengangkat tangan untuk berdoa, memasuki saf, mengangkat takbir sebanyak tiga kali, rukuk, sujud, lalu terus member salam. Aku tersenyum. Dia ialah antara orang yang istimewa di kawasan perumahan aku. Selalu jadi bahan jenaka kanak-kanak di kawasan kejirananku. Selesai member salam, dia mengangkat tangan untuk berdoa, lalu berdiri dan bersalaman dengan semua orang di dalam masjid itu termasuk aku. Sebelum dia keluar, dia mengangkat tangan untuk berdoa, dan sampai di pintu masjid tersebut, dia mengeluarkan sejumlah wang bewarna merah di dalam poket kanannya lalu memasukkan ke dalam tabung masjid. Aku terpaku.
Dalam Ihya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mendefinisikan akhlak sebagai sifat yang tertanam dalam jiwa seseorang, darinyalah terbentuk perbuatan dengan mudan dengan tidak memerlukan pertimbangan fikiran terlebih dahulu. Secara mudahnya, akhlak ialah perbuatan kita secara sub-conscious atau secara automatik. Jika lelaki istimewa itu terus datang ke masjid setiap kali waktu solat, dan menderma ke masjid selepas solat, cuba kita bayangkan betapa indahnya akhlak lelaki tersebut. Memang benar, lelaki itu kurang siuman atau terencat akal, tetapi, jika kita ambil definisi akhlak itu sendiri, iaitu perbuatan yang tanpa pertimbangan fikiran, bukankah akhlak lelaki itu lebih baik daripada sesetengah atau segolongan daripada kita?
Ada banyak cara untuk kita membentuk akhlak yang mulia. Semuanya bermula dengan rutin harian dan disiplin diri yang tinggi. Jika kita memaksa diri kita untuk bangun awal dan melakukan solat subuh, lama kelamaan, perbuatan itu akan menjadi rutin harian, dan akhirnya akan menjadi akhlak kita. Kita kena ingat, untuk membentuk akhlak yang mulia, kita bukan sahaja perlu mengubah amalan spiritual, tetapi kita perlu memprogram semula semua rutin kehidupan kita daripada kita bangun hingga kita tidur. Bukankah lebih cantik jika kita hiaskan permulaan hidup kita dengan doa bangun tidur, dan tamatkan episod hidup kita dengan wudhu dan doa sebelum tidur?
Hidup bagai senaskah buku, kita perlu baca dan fahami untuk mendapat nilai dan pengajaran daripada buku tersebut. Dan ingat, buku kehidupan ditulis oleh penulis yang maha hebat dan tiada tandingannya, jadi pasti ada pengajaran dalam setiap cerita, cuma terpulang pada kita untuk fikir sejenak dan mencari pengajaran daripada cerita tersebut. Konklusinya, bukalah mata, dan cari setiap yang positif dalam kehidupan.